Sunday, July 17, 2011

Report Ceramah Kepentingan Pendidikan

Report Ceramah Kepentingan Pendidikan

(En Mahat yg berbaju putih^^)

Pada hari Ahad bertarikh 10 Julai 2011 bertempat di Kg. Sungai Berua, Kuala Berang, Terengganu telah diadakan ceramah Kepentingan Pendidikan untuk Orang Asli di kampong tersebut.  Ceramah Kepentingan pendidikan ini yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti dalam Program Jalinan Bakti Terengganu 2011 (JBT 2011) yang dianjurkan Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM). Ceramah Kepentingan Pendidikan  ini diadakan bertujuan untuk memberi anjakan paradigma dalam pemikiran Orang Asli di Kg. Sg. Berua tentang betapa pentingnya pendidikan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan ini. Selain itu, ceramah ini juga diharap dapat memberi motivasi kepada ibu bapa Orang Asli supaya mereka berusaha untuk memberi perhatian yang tinggi terhadap pendidikan untuk anak-anak mereka.
Untuk itu, pihak JBT 2011 telah menjemput seorang penceramah yang berkaliber, berketrampilan dan berjaya. Bagi meyakinkan penduduk kampung, penceramah yang dipilih ini juga adalah Orang Asli seperti mereka, bezanya beliau adalah antara Orang Asli yang Berjaya dalam pendidikan. Nama beliau adalah Ir. Mahat a/l Mat Dong dan berasal dari Kampung Bukit Bangkong, sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun di Sungai Lembing, Pahang. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan kini menyandang jawatan Penolong Pengarah Kanan di Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS). Pada Ogos 2009, beliau telah dinobatkan sebagai Ikon Orang Asli 2009, anugerah yang julung kali diwujudkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) sempena Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Orang Asli di atas kejayaan beliau dalam pendidikan dan kerjaya serta sumbangan terhadap Orang Asli di Malaysia.
Sebagai tambahan, perubahan mindset Orang Asli terhadap pendidikan ke arah sesuatu yang lebih baik adalah suatu bonus besar yang diharapkan. Hal ini adalah kerana :

“melalui pendidikanlah segalanya bakal berubah.” Sekadar memetik kata-kata hikmah dari penceramah Ir. Mahat.

Justeru, melalui JBT 2011, diharap ceramah pendidikan ini berjaya dalam mencapai objektifnya seperti yang telah dinyatakan. InsyaAllah^^
Sekian.  

No comments:

Post a Comment