Saturday, October 1, 2011

Surat Terbuka Hilal Asyraf Kepada Kumpulan-Kumpulan Melayu Yang Berada Di Jordan.



by Hilal Asyraf on Friday, 30 September 2011 at 13:31
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh.

Ana mulakan tulisan ini dengan memuji Allah, semoga Dia memberikan kekuatan kepada kita dalam mengharungi kehidupan ini, dalam mencari hidayahNya, dalam memperjuangkan agamaNya, dalam menjadi hambaNya yang sebenar. Juga selawat dan dalam, buat Rasulullah SAW dan para sahabat, yang nyata telah memerah keringat dan darah, untuk menyampaikan Iman dan Islam kepada kita.

                Ana menulis, berkata, dan mengharapkan taufiq daripada Allah di dalamnya.

                Apa yang akan ana tulis di dalam surat ini, adalah yang akan menyentuh banyak pihak. Tajuknya juga sudah dapat membayangkan isinya. Maka di awal surat ini, ingin ana menegaskan beberapa perkara.

Pertama, ini bukanlah surat menyelar mana-mana pihak, bukan hendak menjelaskan mana pihak yang lebih baik, mana pihak yang jahat, mana pihak yang patut dipulaukan. Tidak dan tidak. Ini adalah surat muhasabah kita bersama.
Kedua, surat ini bukanlah ana mewakili mana-mana kumpulan menyuarakan pendapat kumpulan. Ini adalah suara hati ana, pandangan peribadi ana, dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan yang ada di Jordan, hatta PERMAI.

Anggaplah ini suara seorang pelajar tahun akhir di Jordan, yang memberikan pandangannya terhadap apa yang berlaku di hadapannya selama ini.

Ketiga, sesiapa yang offended, boleh ingat balik hubungan ana dengan antum selama ini. Apakah ana berjalan di jalanan bertemu antum dan tidak senyum juga mengangkat tangan? Apakah ana kalau bertemu dekat dengan antum tidak menjabat tangan antum dan bertanya khabar? Ana tidak bermaksud hendak melukakan hati sesiapa di sini. Ana tetap ana yang selama ini antum nampak di jalanan, yang bersembang dan berjabat tangan dengan antum. Surat ini tiada apa-apa personel. Kalau antum membuat keputusan untuk merosakkan hubungan antara kita, hendak rasa awkward selepas surat ini antum baca, maka itu adalah hak antum. Ana tetap akan melayan antum sama seperti biasa.

Jadi jelas ya?

Maka ana mulakan isi surat ini. Semoga Allah memberikan kita manfaat daripadanya.

Permulaan: Kita mengetahui...

Kita di Jordan secara amnya mengetahui, bahawa di dalam masyarakat melayu di Jordan ini, terdapat beberapa kumpulan yang menyatakan bahawa dirinya membawa panji-panji Islam, ingin membawa manusia kembali ke jalan Allah SWT, dan hendak menjalankan proses tarbiyah kepada ahli-ahlinya.

Kita tambah mengetahui dan sedar akan hal ini semenjak kebelakangan ini, selepas beberapa perkara terjadi yang kita kebanyakannya(atau semua?) mengetahui. Kita juga sedia maklum, isu ini timbul di open talk.

Jadi, beberapa perkara tidak enak mula timbul di tanah yang berkah ini, di dalam komuniti kita ini, di tempat kita menuntut ilmu untuk menyumbang kepada masyarakat ini. Ada masalah dengan PERMAI, ada yang kutuk mengutuk sesama sendiri, kekeliruan di kalangan orang-orang yang tidak memahami perkara ini, dan macam-macam lagi.

Ana rasa terpanggil membangkitkan hal ini, adalah kerana sepanjang ana baru pulang dari Malaysia, menemui adik-adik baru, beberapa adik-adik terus bertanya kepada ana:

“Abang Hilal, apa usrah-usrah ini ya?”
“Kenapa?”
“Ada abang-abang tu, awal-awal jumpa, terus tanya saya dah ada usrah ke belum. Mereka kata, kalau tak ada, mereka nak ajak saya masuk usrah mereka.”

Begitukah caranya? Adik-adik itu, tidak sampai dua minggu lagi di sini wahai sahabat-sahibahku, wahai saudara-saudariku.

“Abang Hilal, kat sini ada yang gaduh-gaduh ya?”
“Kenapa cakap macam itu?”
“Ya la, haritu ada pergi duduk dengan satu kumpulan ini(dia sebut nama kumpulan tersebut), dia cerita di Jordan ini ada satu lagi kumpulan. Mereka kata kumpulan ini begitu, begini(ana tak tulis apa dia cakap di sini). Kemudian, ada satu kali itu, ana duduk pula dengan kumpulan yang mereka cakap, kumpulan itu pun cerita begini dan begitu fasal kumpulan satu lagi.”

Inikah yang kita bawa wahai sahabat-sahibah Jordan yang ana kasihi?

Dan masalah ini nyatanya bukan pada syabab sahaja. Akhawat juga ada yang mengadu melalui Facebook kepada ana. Dan masalah ini, kekeliruan ini, fitnah ini, menjalar hingga ke para senior.

“Apa sebenarnya kumpulan itu(menyebut nama)? Tiba-tiba je.”
“Orang-orang dakwah ni memang macam itu ya? Gaduh je kerjanya. Dari Mesir, bawa pula ke Jordan.”
“Itu sebab aku malas nak join benda-benda ni. Merepek.”
“Dah ada PERMAI cukuplah. Apalah diorang ni. Datang sini buat kacau.”

Nampak apa yang berlaku? Memburukkan kerja-kerja kita juga di mata masyarakat.
Dan akhirnya, yang tak bersalah juga yang kena.

“Ni nak ajak ana makan ni, nak tarik ana masuk kumpulan enta ke?”

Sedangkan kita tidak berniat apa-apa.

Maka inilah fokus ana di dalam surat ini.

Kepada kumpulan-kumpulan yang ana maksudkan, ke manakah sebenarnya antum hendak membawa masyarakat melayu di Jordan ini sebenarnya? Apa sebenarnya yang antum sedang buat? Ke arah apa yang sedang berlaku di antara kita sekarang inikah?

Tujuan utama kumpulan ditubuhkan

Apakah tujuan utama kumpulan-kumpulan antum ditubuhkan?

              Untuk merebut ahli paling ramai?
                Untuk mengangkat nama antum paling tinggi?
                Atau sebenarnya untuk membawa manusia pulang kepada Allah dan hidup dalam perintahNya?

                Ana memahami bahawa, gerak kerja dakwah dan tarbiyah yang sebenar adalah membawa manusia pulang kepada Allah SWT, bukannya membawa pulang kepada kumpulan di mana kita berada. Bahkan, sepatutnya, peraturan-peraturan di dalam kumpulan kita, terbina daripada perkara-perkara yang Allah benarkan, bukannya yang Allah larang. Barulah kita dapat bergerak mencapai tujuan itu.

                Maka apakah ini? Apakah yang sedang kita lakukan?
                Tarik menarik ahli yang sedang berlaku ini. Mengapa?

                Baru dua minggu adik-adik sampai, kita sudah sumbatkan mereka dengan masalah-masalah ini. Mereka tertanya-tanya. Terpinga-pinga. Bahkan ada yang ketakutan.

                “Ana risau la. Nak jaga hati siapa ya?” Seorang adik mengadu.

                Dan ada juga yang memandang ini sebagai jelek.
                “Gila kut, baru dua minggu dah tarik-tarik orang.”

                Mengapa tergesa-gesa sedemikian rupa wahai sahabat-sahibahku yang ana kasihi? Mengapa? Apa tujuan sebenarnya kumpulan antum ditubuhkan? Apakah ini sebenarnya satu medan pertandingan mengumpul ahli paling ramai? Atau sebenarnya kita hendak meramaikan orang untuk pulang kepada Allah SWT?

                Kalau antum mengaku bahawa antum hendak membawa manusia pulang kepada Allah SWT, maka mengapakah menimbulkan kekeliruan sedemikian rupa? Begitukah sebenarnya jalan dakwah dan tarbiyah mengajar kita? Atau sebenarnya di dalam pergerakan ini kita dididik untuk bersabar, untuk menjadikan masa sebagai rawatan, untuk tidak menimbulkan fitnah, untuk menjaga sumu’ah pergerakan?

                “Ana daripada kumpulan ini. Enta daripada kumpulan mana? Ada daripada mana-mana kumpulan? Kalau tak ada, jom join kumpulan ana.”

                Apakah salam perkenalan itu?

                “Ada la satu kumpulan di Jordan ni. Mereka ni angkat bangsa.”

                Itu yang kita sumbatkan pada adik-adik? Menohmah pula kumpulan lain? Memberitahu apa yang sepatutnya tidak kita beritahu?

                “PERMAI, PERMAI juga. Tetapi PERMAI bukan ada pun di Malaysia.” Satu lagi kumpulan bersuara.

                Itu yang kita longgokkan dalam minda adik-adik yang baru datang?
                Apakah ini? Inikah dia pergerakan dakwah?

                Ana ada membaca dalam blog kumpulan-kumpulan ini, ada yang menulis artikel: “Dakwah kita adalah dakwah Cinta.” Maka apakah itu cinta? Cinta apakah itu dalam menimbulkan kekeliruan dan ketidak fahaman? Cinta apakah itu dalam memburuk-burukkan atau melemah-lemahkan kumpulan yang lain? Yang silap haribulan adik-adik ini kenal pun tidak. Kita pun dia tak kenal. Apatah lagi kumpulan lain. Tup-tup yang kita isi adalah keburukan kumpulan lain? Lebih buruk, dia baru datang ke tempat yang asing dan mengetahui PERMAI adalah yang menaunginya di sini, yang menjaganya di sini, yang menguruskannya di sini, tiba-tiba kita sumbatkan kepada dia bahawa PERMAI ini tidak relevan sebagai platform tarbiyah?

                Apakah ini Cinta wahai sahabat-sahibah, syabab akhawat yang ana kasihi?
                Apakah ini dakwah dan tarbiyah?
                Apakah ini Islam?

Di manakah kesabaran dalam mengajak?

Mengapa teruja menzahirkan kumpulan kita? Mengapa teruja membawa mereka masuk ke dalam kumpulan kita?

Apakah kita tidak boleh memberikan masa kepada mereka? Apakah kita tidak boleh, jika kita berbuat baik kepada mereka tanpa memberitahu kita dari kumpulan mana? Apakah kita tidak boleh belanja mereka makan hanya dengan niat hendak membina jambatan hati dengan mereka?

                Mengapa kita terus terburu-buru?

                “Kumpulan kami diiktiraf ...(menyebut satu nama kumpulan besar lagi berpengaruh). Kumpulan sana tidak.”
                “Kumpulan kami sebenarnya yang ada hubungan dengan ...(menyebut satu nama kumpulan besar lagi berpengaruh). Kumpulan sana tidak.”

                Ini apa? Ini apa? Izinkan ana mengulang tanya, ini adalah apa?
                Di manakah kesabaran di dalam mengajak? Mengapa kita tergesa-gesa? Mengapa gopoh sehingga kelihatan seperti tidak terarah?

                Tidak bolehkah kita berikan masa? Lihat dahulu siapa yang kita ajak? Kenal dahulu siapa yang kita panggil? Perangainya macam mana, latar belakangnya macam mana, kefahamannya macam mana, sebelum kita zahirkan apa yang sepatutnya kita rahsiakan terlebih dahulu? Mengapa tergesa-gesa wahai sahabat-sahibahku? Mengapa tergesa-gesa?

                Mengapa tidak boleh ambil masa? Apa yang antum ingin kejarkan sebenarnya?
                Ke arah mana yang antum hendak pergi membawa mereka ini sehingga tergesa-gesa?

                “Kena cepat, nanti kumpulan lain ambil.”

                Itukah sebabnya? Itukah sebabnya?

                Itukah sebabnya kita buat open house? Itukah sebabnya kita ajak mereka berjaulah? Yang kemudiannya di dalam open house kita, di dalam jaulah kita, di dalam makan-makan kita, kita terus sumbatkan mereka ideologi-ideologi kita sedangkan mereka tidak memahami apa-apa pun.

                Dalam keadaan, antara kita dan mereka, langsung tiada hubungan apa-apa di dalam jiwa sebenarnya. Kita tergesa-gesa hendak menyumbatkan mereka ke dalam kumpulan kita.

                Apakah ini?

“PERMAI hanya beberapa tahun sahaja. Nanti di Malaysia tiada.”

Siapakah yang mengkibarkan ayat ini kepada orang ramai?

Apakah yang antum nampak apabila antum sebut ayat di atas?

                Ya, ana secara jujurnya(minta maaf PERMAI), bersetuju bahawa PERMAI hanya beberapa tahun sahaja di dalam hidup kita. Di Malaysia, memang PERMAI tiada untuk meneruskan tarbiyah kita. Benar dan benar.

                Tetapi tidakkah kita mahu melihat semula perkara ini?

                Biar ana buat satu ayat lain untuk kita semua.

                “PERMAI ini beberapa tahun sahaja. Mengapa porak-perandakan beberapa tahun ini?”

                Ya. Mengapa?

                Kita akan pulang selepas 4 tahun, 5 tahun, 6 tahun. Tetapi PERMAI masih ada di sini. Apakah kita telah lakukan untuk memperkuatkan PERMAI agar terus mampu menjaga, mengurus, mengawal, melindungi pelajar-pelajar melayu di Jordan sepanjang ketiadaan kita nanti?

                Atau beberapa tahun kita di Jordan ini, kita habiskan dengan mencacatkan PERMAI, menghilangkan ‘men power’nya, meruntuhkan institusi-institusi yang dibinanya, dengan sikap dan perangai kita? Kita, beberapa tahun yang kita ada di Jordan ini, mengapa kita perlu isinya dengan meninggalkan sesuatu yang buruk seperti ‘perselisihan faham antara kumpulan-kumpulan’?

                Kalau benar PERMAI hanya beberapa tahun sahaja, mengapa kita tidak boleh bersabar untuk beberapa tahun ini? Mengapa beberapa tahun ini, kita tidak boleh bergerak dengan menghormati PERMAI? Mengapa beberapa tahun yang singkat ini, tidak kita gunakan peluang untuk membina jambatan hati antara kita dengan sebanyak warga PERMAI yang boleh? Membina imej baik kita dengan mereka, merapati mereka dan mendalami mereka, kemudian bila ada peluang di Malaysia, kita ajaklah mereka pergi kepada program-program kita untuk penerusan tarbiyah. Apakah itu sesuatu yang sukar?

                Mengapa mesti kita rosakkan suasana ‘beberapa tahun sahaja’ ini?
                Mengapa kita mesti menimbulkan fitnah terhadap pergerakan dakwah dalam ‘beberapa tahun sahaja’ ini?
                Mengapa kita mesti memburukkan nama kumpulan kita dalam ‘beberapa tahun sahaja’ ini?
                Tidakkah antum melihat?

                Ana bersetuju apabila kita berkata bahawa, PERMAI nanti di Malaysia tiada. Tetapi itu bukan lesen untuk kita seakan-akan mengenepikan PERMAI ‘ketika kita berada di Jordan’. Ana 100% yakin PERMAI tidak marah kita untuk stay dalam kumpulan kita. Ana yakin 100% yang PERMAI suka sekiranya alumni-alumni PERMAI di Malaysia terjaga dengan sisten tarbiyah yang baik.

                Tetapi mengapa di sini medannya kita timbulkan semua ini?

                ‘Beberapa tahun yang singkat’ ini, mengapa kita timbulkan kekeliruan ini semua?

                Dan kemudian, kita hilang daripada ‘beberapa tahun yang singkat’ ini, sedang PERMAI terus kekal di Jordan, dan apa yang kita tinggalkan?

                Kita tinggalkan adik-adik kita, waris-waris kita di sini, untuk meneruskan porak peranda, kekeliruan, fitnah, yang kita buat selama ini, hasil ketidak fahaman kita sebenarnya.

                Bagaimana?

Belajarlah Hidup Di Bawah Khilafah

Apakah peraturan utama apabila daulah islamiyyah terbina?

            Antara peraturan utamanya adalah, kumpulan-kumpulan Islam mestilah dibubarkan dan bersatu di bawah panji khilafah. Proses tarbiyah dan dakwah masyarakat akan terletak di bawah tanggungan Khilafah. Maka kita yang berpotensi, mempunyai idea, mempunyai kelebihan, mempunyai tenaga untuk menyumbang kepada Islam, kita serahkan diri kita di bawah Khilafah.

                Hebat berperang, kita menjadi jeneral untuk Khilafah. Hebat ilmu, kita menjadi guru di bawah naungan Khilafah. Hebat memerintah, kita akan menjadi gabenor di bawah Khilafah. Dan begitulah seterusnya. Semua untuk kemaslahatan daulah. Kita perlu tinggalkan kumpulan-kumpulan kita, dan taat serta wala’ kepada yang satu sahaja.

                Maka tidakkah kita melihat suasana di PERMAI ini adalah masanya untuk kita mempraktiskan hal itu.

                Benar, PERMAI bukan khilafah. PERMAI bukan perfect. PERMAI bukan ada di Malaysia nanti. Tetapi kita sedang berhadapan dengan hakikat bahawa PERMAI ada di Jordan ini. Menaungi SELURUH pelajar melayu di Irbid. Menguruskan SEMUA pelajar melayu di sini.

                Tidakkah kita patut melihat PERMAI sebagai daulah kita di sini?
                Apakah PERMAI mengajak kepada kemungkaran untuk kita tidak patuhi? Tidak.
                Apakah PERMAI memutar belitkan Islam? Tidak.
                Apakah PERMAI mengajak kepada penghapusan sistem ISLam? Tidak.
                Apakah PERMAI mengajak kepada Islam? Ya. Walaupun ada kekurangan-kekuangannya. Dan kekurangan-kekurangan itulah yang kita perlu tampung di bawah bendera PERMAI.

                Bukankah nanti jika kita ada daulah, kita semua kena tinggalkan kumpulan-kumpulan kita? Kita kena bertolak ansur dengan perselisihan faham yang selama ini ada. Sebab daulah telah  terbina, dan daulah lebih besar untuk kita jaga berbanding kumpulan-kumpulan kecil kita.

                Apakah kita ketika daulah terbina, kita masih hendak berkata:

                “Apa fasal kumpulan itu pula kena jadi ketua?”

                Apakah kita hendak berkata:

                “Mana boleh, akulah yang kena memerintah!”

                Apakah begitu?

                Atau kita bertolak ansur, dan tunduk, kemudian menyumbang pula apa potensi yang kita ada untuk kebaikan khilafah, kerajaan Islam kita?

                Maka di PERMAI juga begitu sepatutnya. Bukanlah ana nak kata kita kena bubar kumpulan kita. Yalah, PERMAI tiada di Malaysia. Kumpulan kita,teruskanlah proses tarbiyahnya. Tetapi, sebagai mereka yang beranung di bawah PERMAI, kita sepatutnya membantu dan menghormati PERMAI. Sebab PERMAI adalah khilafah di sini, kerajaan Islam di sini, yang menaungi SELURUH pelajar melayu, yang menguruskan SEMUA pelajar melayu.

                Ini tidak. Kita angkut ramai-ramai pelajar keluar dari Irbid tanpa memberitahu PERMAI.
                Ini tidak. Kita buat program, langgar waktu program PERMAI.
                PERMAI minta tolong kita jadi naqib PINTAR, kita tolak.
                PERMAI minta tolong kita jadi naqib PINTAR, kita terima, tapi buat tak sungguh-sungguh. Sebab? Sebab PERMAI bukan jemaah saya.

                Beginikah syakhsiah kumpulan dakwah? Beginikah orang-orang yang membawa Islam?

                Bagaimana nanti bila daulah tertegak dan yang memegang daulah bukan kumpulan kita? Kita nak jadi apa?
                Pemberontak?

                Kita lupa satu hakikat wahai sahabat-sahibah ana yang berada di dalam kumpulan-kumpulan ini. Apakah hakikat itu?

                Itulah hakikatnya bahawa, PERMAI ADALAH MAD’U KITA JUGA.

Dan apakah dakwah antum ini memang membawa ke arah kebahayaan?
Ada beberapa kumpulan, untuk menunjukkan bahawa ‘dialah yang betul’,  teruja membuat pengakuan bahawa merekalah yang diiktiraf rasmi oleh ...(menyebut satu nama kumpulan besar lagi berpengaruh). Ada pula, yang menayang-nayangkan gambar pemudanya mengikuti progam-program tertentu yang sepatutnya dirahsiakan hubungan kita dengan mereka.

                Kita mendedahkan diri kita, dakwah kita, bahkan masyarakat PERMAI, kepada mukhabarat-mukhabarat. Mereka mula bertanya, menyelidik, apakah benar kita ada hubungan?

                Kita bawa pelajar-pelajar dalam sekumpulan yang besar tanpa kebenaran PERMAI, tanpa pengetahuan PERMAI, mukhabarat-mukhabarat mula menghubungi beberapa kepimpinan PERMAI dan bertanya itu dan ini.

                Apakah ini yang kita mahukan?

                Apakah ke arah ini dakwah kita membawa kita?

                Apa sebenarnya yang kita mahu sebenarnya dengan melalui semua ini? Kalau tak boleh elak tak mengapa. Memang, satu waktu, akan sampai masanya kita perlu meredah jalan penuh liku untuk mengangkat ISLAM.

                Tetapi apakah benar sekarang masanya?

                Atau sebenarnya liku-liku itu kita yang reka?

                Benda boleh elak, sepatutnya kita elak. Kita mahu dakwah kita bergerak lebih panjang. Mengapa kita tidak berusaha menjaganya?

                Akhirnya, PERMAI juga yang susah hendak menangani semua ini. Inikah yang dakwah kita bawa?

Imej dakwah yang tercalar itu...

Ana faham ada pergaduhan dalam kumpulan-kumpulan ini. Jujur cakap, ana bukan orang asing di dalam semua ini. Ana membesar dalam kebanyakan kumpulan. Ibu Bapa ana dari satu kumpulan, ana sekolah di sekolah satu kumpulan, dan ana membesar banyak dengan semua kumpulan. Ada sejarah hitam antara kumpulan-kumpulan ini.

Tetapi malang. Kita seakan-akan menggunakan sejarah hitam itu, kita putar belitkannya, untuk menjadi senjata-senjata kita. Kumpulan ini cerita begini. Kumpulan itu cerita begitu. Semuanya memburukkan kumpulan lain. Kumpulan-kumpulan ini lupa, ada kumpulan yang menyimpan dokumentasi atas apa yang berlaku sebenarnya.

                Bukan itu fokus ana. Fokus ana adalah, kita membawa pula pergaduhan itu ke Jordan.

                Kita semua asalnya tenang-tenang sahaja di Jordan ini. Ana masih ingat betapa damainya tahun satu ana lalui. Tiada isu-isu hangat seperti hari ini. Kita rasa lega kerana kita bukan pelajar Mesir yang kita tahu ada pergaduhan yang teruk antara kumpulan-kumpulan di ana.

                Tetapi tiba-tiba, satu kumpulan bertindak berani, menzahirkan pergerakan dan melakukan itu dan ini seakan-akan dialah satu persatuan rasmi. Itu sahaja sudah menyedihkan. Tetapi tambah menyedihkan, satu lagi kumpulan juga memutuskan bahawa tidak boleh jadi kita biarkan kumpulan itu sahaja naik. Mereka juga turut serta.

                Dan PERMAI yang tersepit di tengah-tengah.

                Macam ana cakap, ana bukan orang asing dalam kumpulan-kumpulan ini. Ana kenal antum. Ana kenal pakcik-makcik antum. Ana kenal ketua-ketua antum. Jadi, ana malu dengan apa yang berlaku. Dia seakan-akan begini nampaknya:

                Ana datang ke rumah orang dengan adik-beradik ana, dan kemudiannya adik-beradik ana buat porak-peranda di rumah itu. Ana sebagai salah seorang ahli keluarga, ana malu. Nama baik keluarga ana tercalar atas sikap adik-beradik ana.

                Ya, itu perasaan ana.

                Sikap kita, perangai kita, keterujaan kita, semua ini mencalarkan apa yang kita bawa. Wahai kumpulan-kumpulan yang menyangka antum tengah memperjuangkan Islam, benarkah perjuangan antum untuk Islam sekarang? Pernahkah antum berhenti sebentar dan melihat dari pandangan orang biasa. Lihatlah apa yang telah berlaku. Jangan sampai ada yang listkan satu persatu.

                Dan kumpulan-kumpulan yang teruja ini, merosakkan pula kumpulan-kumpulan yang memilih untuk tidak menzahirkan pergerakan mereka, yang berhajat untuk membantu PERMAI.

                “Anta dari sekolah mana?”
                “Ana dari sekolah itu(menyebut nama sekolah)”
                “Oh, enta orang kumpulan itu(menyebut nama kumpulan) ya?”

                Mengapa mesti sampai begitu sekali? Diam-diam tak bolehkah? Apakah semua kumpulan sama seperti kumpulan kita nak zahir-zahirkan diri? Akhirnya, kumpulan-kumpulan ini pun tidak selesa bergerak.

                Mereka rilek sahaja ajak makan, bukan nak promosi kumpulan pun, tapi dituduh hendak mengajak kepada kumpulan. Sedangkan mereka berbeza. Bukan macam kita. Tetapi kerana sikap kita, fitnah itu tertumpah juga kepada yang lainnya.

                “Dia dari kumpulan itu(menyebut nama kumpulan), dia dari kumpulan ini(menyebut nama kumpulan).”

                Antum tak ada kerja lain yang lebih bermanfaatkah daripada itu?
                Kadangkala, kita membahaskan hal kumpulan-kumpulan ini, siapa yang lebih baik, siapa yang tidak betul, siapa yang benar jalan dakwahnya, siapa yang diiktiraf, siapa yang tidak diiktiraf, lebih daripada membicarakan fasal akhlak baik, fasal ubudiah kepada Allah.

                Kita ini sebenarnya bawa masalah kita dari Malaysia, kita datangkannya ke mari. Kita tak bawa dakwah sebenarnya. Kita bawa masalah. Kalau benar dakwah, bukan begini sebenarnya. PERMAI tidak akan terasa kalau kita bawa Islam. Masyarakat tidak akan keliru jika yang kita bawa adalah Islam. Semua ini tidak akan terjadi, jika benar kita ini mengajak balik kepada Allah.


Penutup: Marilah Kita Kembali Muhasabah Wahai Saudara-Saudariku

Surat terbuka ini sekadar membuka fikiran. Ana tidak menzahirkan mana-mana nama kumpulan. Sebab pada ana, ana tidak pernah bermasalah dengan kumpulan-kumpulan ini. Tetapi sekarang, apabila masalah terzahir kepada masyarakat yang ana duduk di dalamnya, ana rasa ana perlu berkata sesuatu.

                Ana bukan hendak melorongkan kebencian kepada mana-mana pihak, mana-mana kumpulan. Macam ana cakap, ana anggap kita semua ini adik-beradik. Antum sendiri tahu ana di jalanan dengan antum macam mana(yang lelaki). Kalau ana benci, ana telah lama boikot antum. Telah lama ana gunakan LangitIlahi sebagai medan menghentam antum. Tetapi tidak. Ana masih minum-minum dengan antum, masih berjabat tangan dan senyum kepada antum. Ana masih bertanya khabar kepada antum dan bermesra dengan antum.

                Allah sebagai saksi.

                Tiadalah apa yang ana harapkan daripada surat ini melainkan semua kumpulan muhasabah kembali. Mengapa mesti begini? Untuk apa kita berdakwah sebenarnya? Apakah benar cara kita selama ini?

                Mari, robohkanlah tembok kumpulan-kumpulan ini. Sama-sama kita lihat sebentar. Tidakkah kita melihat telah banyak fitnah dan kerosakan yang telah kita lakukan? Inikah dakwah kita wahai saudara-saudariku?

                Kita hendak mengajak kepada apa sebenarnya?
                Kepada Allah, atau bilangan ahli yang ramai?
                Kepada Islam, atau kepada kumpulan kita?
                Sama-sama kita chek balik.

                Antum dan antunna mulia di hati ana. Ana sayang antum dan antunna. Ana sayang senior-senior ana, ana sayang mereka yang ada dalam batch ana, dan semestinya, ana sayang junior-junior ana. Mengapa kita tidak boleh hidup dalam keadaan harmoni? Bersih dari fitnah ini?

                Ana hulurkan antum surat terbuka ana ini.
                Terpulang kepada antum bagaimana mahu menginterprestasi.
                Allah antara ana dan antum.
                Allah jugalah pembeda yang paling benar di dalam urusan ini.

                Semoga Allah ampunkan ana kalau ada salah silap sepanjang kalam, ana tahu ana bukan sesempurna mana, bukanlah sepakar mana hendak berbicara akan hal ini. Tetapi inilah dia, Hilal Asyraf, pelajar Usuluddin tahun akhir University of Yarmouk, Irbid, Jordan, menyuarakan rasa hatinya, sebatas pengetahuannya.

                Semoga Allah satukan kita semua, dan meredhai kerja-kerja kita.
                Wassalam.

~ Hilal Asyraf
http://langitilahi.com
Pelajar Usuluddin,
University of Yarmouk,
Tahun Akhir,
1526
300911

3 comments:

  1. http://muntalaq.wordpress.com/category/dakwah/

    http://inizis.com/

    http://nukminsaah.blogspot.com/

    http://angelwearsgucci.blogspot.com/

    sekadar berkongsi.


    p.s ada daie yang lupa tujuan dakwah.

    ReplyDelete
  2. Jzk tuan punya blog kerana sudi berkongsi 'surat terbuka' ni. Ana mencari juga untuk membaca isi kandungannya.

    Ana tidak berada di Jordan, jadi kurang jelas apa yang berlaku. Tapi boleh agak 'kumpulan' mana yang diperkatakan itu.

    Semoga semuanya dipermudahkan Allah.

    @encik pengintai: blog2 tu semua best2, apa tujuan encik memberikan links itu disini? Blogs tu ada berbaur seperti perkara yang diceritakan dalam surat ni ke?

    ReplyDelete
  3. masa kita muda, kita biarkan passion kita mengawal diri kita dari side yang negatif 'kadang-kadang'. itu dek kerana pengalaman hidup yang belum panjang jadi kita tak tahu apa kesannya selepas ini. maksud akak selepas kita habis belajar. masa tu kita sudah hidup berkeluarga sendiri, sudah bekerja, masa itu terasa amat jauh dengan semua perkara ini. dibatasi dengan banyak tuntutan dunia.


    kalau dapat, bimbinglah generasi kamu supaya menghargai islam sedalam-dalamnya. agar kekal sampai akhir hayat. bukan menghargai jemaah...

    ReplyDelete